Che Ta lega pasangan terlibat penipuan pakej pelancongan terima balasan setimpal

0
2

BIARPUN ralat kerana wang dilaburkan lesap begitu sahaja, pelakon popular Rozita Che Wan bersyukur kerana pasangan suami isteri yang didakwa menipu pakej pelancongan telah diberkas pihak berkuasa.

Tembelang pasangan suami isteri tersebut pecah apabila tular gambar dan individu yang mengaku telah tertipu dengan penipuan mereka termasuk Rozita atau mesra disapa Che Ta.

Menurut Che Ta, penahan pasangan itu adalah balasan kepada perbuatan mereka yang menipu duit ramai orang dengan pakej pelancongan palsu.

“Ini pengalaman pertama saya kena tipu sebegini. Apa boleh dikatakan, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya ke tanah jua. Ramai mangsa penipuan dia yang lega apabila dia ditangkap.

“Walaupun saya berasa ralat sebab duit tak dapat balik, tapi sekurang-kurangnya dia terima habuan atas perbuatan jijik mereka,” katanya seperti dilaporkan media.

Namun begitu, Che Ta tetap meneruskan percutian yang dirancang bersama ahli keluarga dan beberapa lagi sahabatnya.

“Percutian itu pada 26 September lalu. Disebabkan sudah rancang awal, jadi saya, suami dan rakan lain pergi juga. Cuma, kami tempah hotel lain,” katanya.

Baru-baru ini, tular gambar pasangan suami isteri yang terlibat dalam penipuan pakej pelancongan dan menawarkan harga yang murah untuk penginapan di beberapa pusat peranginan dalam negara.

Juga terpalit dengan kesalahan itu adalah jutawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri di mana salah seorang pasangan itu pernah berkhidmat sebagai kakitangannya.

Bagaimanapun, Aliff tampil dengan kenyataan tidak ada kaitan langsung dengan penipuan tersebut kerana mereka tidak lagi berkhidmat sebagai pembantunya sejak beberapa tahun lepas.

Pada 25 September lalu, pasangan suspek berusia 26 dan 27 telah ditahan susulan beberapa laporan berhubung penipuan pakej pelancongan yang dijalankan mereka.

Difahamkan, pasangan itu didakwa mengambil kesempatan menawarkan promosi pakej penginapan bilik hotel mewah kononnya bagi menghargai petugas barisan hadapan Covid-19. – Malaysiapost