KKM mohon 1,898 petugas kesihatan kontrak

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan untuk melantik secara kontrak 1,899 petugas kesihatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia bagi menyokong perkhidmatan kesihatan dalam tempoh penularan wabak Covid-19.

Katanya, antara petugas kesihatan sokongan tambahan yang dipohon adalah Pegawai Penyelidik; Jururawat; Penolong Pegawai Perubatan; Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran.

Selain Juruteknologi Makmal Perubatan dan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi dan Kewangan).

“Permohonan dikemukakan pada 9 Oktober selaras persetujuan kerajaan agar KKM dipertimbangkan untuk menambah petugas kesihatan kepada sejumlah 2,000 lantikan secara kontrak.

“Ia seperti diluluskan kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Adham berkata, selain ditempatkan di fasiliti kesihatan seperti di hospital, klinik kesihatan, makmal, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), petugas ini juga akan ditempatkan di stesen kuarantin.

“Serta ditugaskan di pintu masuk antarabangsa seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) agar urusan keluar masuk di pintu masuk antarabangsa dapat diuruskan dengan lancar dan berkesan,” katanya. – Malaysiapost