Covid-19: Trump dakwa dirinya kebal

0
3

[Dunia] PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa dirinya kini kebal daripada Covid-19 selepas dijangkiti dan bebas virus itu.

Beliau berkata demikian selepas kembali berkempen untuk menentang pesaingnya, Joe Biden.

“Saya seperti kebal, saya tidak tahu, mungkin untuk jangka masa yang lama atau sebaliknya, mungkin untuk seumur hidup, tiada siapa yang tahu, tetapi saya kebal.

“Anda memiliki seorang Presiden yang kebal… kini anda ada seorang Presiden yang tidak perlu bersembunyi seperti dilakukan pesaingnya,” katanya seperti dilapor AFP.

Trump sebelum ini dilaporkan positif Covid-19, namun disahkan oleh doktornya tidak lagi berisiko dijangkiti virus itu.

Terdahulu, dalam temubual menerusi panggilan telefon, Trump mendakwa Joe Biden kemungkinan tidak sihat.

“Jika anda lihat Joe (Biden), semalam beliau batuk dengan teruk sekali dan memakai topeng pelitup kerana beliau batuk.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku kerana (dakwaan Biden tidak sihat) tidak mendapat banyak liputan,” katanya.

Pasukan kempen Biden kerap menyiarkan mengenai keputusan ujian saringan calonnya selepas Trump disahkan positif Covid-19 dan dirawat di hospital selama tiga hari, sekali gus menyebabkannya ketinggalan dalam kempen pilihan raya. – Malaysiapost