SEORANG lelaki direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes tembak seorang anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Salor, Kota Bharu, kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata suspek yang berusia 35 tahun direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Kita masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana melakukan cubaan membunuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Mangsa ketika ini dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu,” katanya.
Sementara itu, Sukarelawan polis yang cedera ditembak dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali malam kelmarin kini semakin stabil.
Semalam, media melaporkan seorang anggota Sukarelawan Simpanan PDRM berpangkat koperal cedera di dada kanannya selepas dipercayai ditembak.
Mangsa, Kamarul Fadzreen Kamaruzaman, 30, ditembak ketika sedang menunggang motosikal ke sebuah kedai nasi lemak di tepi Jalan Aur Duri, Kampung Seberang, malam kelmarin. – Malaysiapost

