PEMUDA Umno menyelar tindakan Pakatan Harapan (PH) yang sering menjadikan kerusi Parlimen Alor Setar untuk golongan ‘nomad politik’ dalam setiap Pilihan Raya Umum (PRU).
Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, berkata PKR sering menjadikan kerusi Parlimen Alor Setar sebagai kerusi ‘pelancongan’ ahli politik mereka dengan menghantar individu dari luar sebagai calon.
“Seperti Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering berpindah randah kerusi Parlimen, begitu juga dilakukan PKR terhadap kerusi Parlimen Alor Setar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Alor Setar berkata, ketika ini penyandang kerusi Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai daripada PKR, juga bukan anak tempatan.
Katanya, Ming Kai yang mengumumkan tidak mempertahankan kerusi itu semalam membesar di Ipoh, selain mula menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai di Perak pada 2008 sebelum menjadi ADUN Indera Kayangan, Perlis pada 2013.
“Begitu juga Ahli Parlimen PKR sebelum ini, Gooi Hsiao Leung orang Pulau Pinang yang dibawa ke Parlimen Alor Setar.
“Seolah wakil PKR ini ‘pelancong’ yang yang sering berpindah randah sesuatu kawasan. Ini jelas bukti bahawa PH bukan mengutamakan rakyat di mana mana kerusi yang diwakilinya,” katanya.
Beliau berkata, ahli politik nomad ini hanya ‘memangsakan’ pengundi kerana mereka ada kalanya sukar berada di kawasan terutama apabila waktu khidmat mereka sangat diperlulan.
“Akhirnya, rakyat Alor Setar tidak mendapat manfaat peranan wakil rakyat yang sewajarnya dan ketinggalan.
“Kepada Pakatan Harapan (PH) terutamanya PKR berhentilah menjadikan Parlimen Alor Setar ini tempat meletakkan calon yang mahu dibuang dari kawasan lain. Parlimen Alor Setar seolah dinilai sebagai ibarat ‘Tong Sampah’ pada mereka,” katanya.
Justeru, beliau menasihati pengundi dan membuka mata dengan memilih calon yang benar-benar berkhidmat dan bukan setakat calon ‘tangkap muat’ di kerusi Parlimen.
“Saya mendapat maklumat, juga akan ada ‘pelancong politik’ baru akan dibuang ke Alor Setar untuk PRU15 ini.
“Kita perlukan wakil dari orang tempatan yang mengenali sepenuhnya tentang orang Alor Setar dan menyeru pengundi Alor Setar menolak mereka kali ini,” katanya.
Semalam, Ming Kai yang juga Ahli Parlimen Alor Setar mengesahkan tidak mempertahan kerusi Parlimen itu pada PRU15.
Ming Kai berkata, sebelum ini beliau sememangnya merancang memberi laluan kerusi tersebut kepada muka baharu dan mencabar kerusi yang belum dimenangi atau dikhianati seperti Bagan Datok, Pagoh, Gombak atau Ampang. – Malaysiapost

