PH hanya peruntuk 2 jawatan TPM

0
2

PAKATAN Harapan (PH) hanya memperuntukkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, berkata pendirian dan semangat itu sememangnya konsisten sejak era Pakatan Rakyat sehingga kini.

Katanya, dua jawatan TPM yang akan diperuntukkan PH itu merangkumi seorang wakil dari Semenanjung dan seorang lagi Sabah-Sarawak (Borneo).

“Saya merujuk laporan media terkait pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai cadangan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) selepas program di Sandakan semalam.

“Ingin dimaklumkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mengumumkan dua jawatan TPM yang akan diperuntukkan oleh PH yakni seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah-Sarawak (Borneo),” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Justeru, beliau turut meminta laporan media semalam yang mendakwa Anwar menyatakan tiga jawatan TPM diwujudkan jika gabungan itu dipilih menerajui kerajaan, diperbetulkan.

“Pendirian dan semangat ini konsisten sejak era Pakatan Rakyat sehingga kini. Saya memohon jasa baik rakan-rakan media agar dapat memperbetulkan laporan yang telah dikeluarkan,” katanya.

Semalam media melaporkan, Anwar akan mengekalkan cadangan sebelum ini supaya tiga jawatan TPM diwujudkan jika gabungan itu dipilih menerajui kerajaan selepas PRU15 pada 19 November ini.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, cadangan itu merangkumi seorang TPM masing-masing dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here