Pekerja Garden, Midvalley positif Covid-19

0
2

SEORANG pekerja di pusat beli belah The Gardens Mall (TGM) dan Mid Valley Megamall (MVM) didapati positif Covid-19.

Pihak pengurusan TGM dan MVM berkata, kes itu membabitkan pekerja London Sales Cosmetics Sdn Bhd (LSC), syarikat yang menguruskan Origani dan Élévatione Time Stops di TGM dan Surreal by Élévatione Time Stops di MVM.

“Pekerja berkenaan telah memaklumkan pihak pengurusan di LSC pada 9 Oktober lalu bahawa salah seorang ahli keluarganya terdedah kepada virus tersebut.

“Beliau bertindak mengasingkan dirinya secara kuarantin kendiri dan langkah-langkah telah diambil bagi membolehkannya menjalani ujian Covid-19 yang disahkan positif pada 10 Oktober lalu.

“Bagaimanapun, mangsa tidak menunjukkan sebarang gejala Covid-19,” kata TGM dan MVM dalam satu kenyataan.

Pihak pengurusan TGM dan MVM telah dimaklumkan mengenai keputusan ujian tersebut pada hari ini dan tiga outlet berkenaan di arah tutup sehingga notis selanjutnya.

Sejurus pengesahan kes tersebut, Kementerian Kesihatan telah dimaklumkan dan disusuli dengan langkah pengesanan kontak.

“Usaha sanitasi dan nyahkuman di tiga outlet di bawah LSC serta kawasan umum di kedua-dua pusat beli belah itu masih dijalankan,” katanya.

Pihak pengurusan TGM dan MVM turut memberi jaminan kepada pelanggan, penyewa serta pengunjung bahawa kesihatan dan keselamatan mereka diutamakan.

“Kami telah melaksanakan langkah berjaga-jaga bagi memastikan tahap kebersihan yang menyeluruh sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan di kedua-dua pusat beli belah itu.

“Kami juga akan terus memantau rapat keadaan dan bekerjasama dengan semua pihak berwajib serta akan memaklumkan perkembangan sewajarnya,” katanya.- Malaysiapost