PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk mengelak Gerakan Tanah Air (GTA) kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).
Beliau berkata, Dr Mahathir sebenarnya tidak mahu mengakhiri kerjaya politik secara memalukan sekiranya GTA tewas teruk tanpa memenangi sebarang kerusi pada PRU15 ini.
“(Dr) Mahathir tidak mahu mengakhiri hayat politik dengan tiada satu pun kerusi GTA dimenangi. Yang ini PH (Pakatan Harapan) seolah-olah tidak sedar,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada masa sama, Ahmad Zahid turut hairan kerana Anwar dan juga PH dilihat begitu lemah sehingga boleh diperdayakan sekali lagi oleh Dr Mahathir.
“Adakah Anwar dan PKR terlalu lemah hingga boleh cuba diperdayakan sekali lagi oleh Dr Mahathir? Mahathir seolah-olah cuba mengekang Anwar sekali lagi di sebalik janji manis untuk bekerjasama,” katanya.
Ahmad Zahid turut membidas tindakan PKR kononnya meletakkan ‘Giant Killer’ mereka untuk bertanding di Bagan Datuk namun tidak melakukan tindakan sama bagi ‘melawan’ Dr Mahathir di Langkawi.
“Namun siapa pula ‘Super Giant Killer’ yang PKR ingin letakkan untuk melawan Dr Mahathir di Langkawi? Takkan letak bekas ahli PKR melawan Atuk (Dr Mahathir) di Langkawi?
“Sepatutnya PKR dan PH meletakkan calon terbaik mereka di Langkawi. Jangan sekadar berani acah-acah sahaja bertanding di Bagan Datuk tetapi kecut hendak letak calon terbaik mereka di Langkawi
“Atau PKR dan PH masih sayangkan lagi Dr Mahathir dan mahu Dr Mahathir jadi calon Perdana Menteri sekali lagi dan sanggup menyerahkan kerusi kepada GTA,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid sekali lagi mengingatkan rakyat agar tidak lagi bereksperimen dengan PH sepertimana pernah berlaku pada PRU14 lalu.
Jelasnya lagi, sebahagian besar ketidakstabilan politik yang berlaku hari ini adalah disebabkan oleh pimpinan PH.
“Dr Mahathir yang melanggar janji untuk menaikkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Dr Mahathir lah yang mencetuskan huru-hara politik dengan meletak jawatan secara tiba-tiba.
“Sudah pasti Dr Mahathir tidaklah naif sangat dengan meletak jawatan. Tindakan ini sengaja dibuat bagi memastikan Anwar diperdayakan untuk sekian kalinya,” katanya.
Terdahulu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air memaklumkan beliau sedia berbincang dengan Anwar yang juga Pengerusi PH pada PRU15.
Katanya, kedua-dua mereka mempunyai matlamat sama dan beliau sedia membuka langkah pertama ke arah kerjasama itu untuk bertemu Anwar.
Malah, beliau juga menegaskan tidak kisah jika ada yang melabelnya tidak malu kerana sedia bertemu Anwar. – Malaysiapost

