Jentera Umno Kelantan bantu PRN Sabah negatif Covid-19

0
2

SEMUA ahli Umno Kelantan yang membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah negatif Covid-19.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengesahkan perkara itu selepas mereka memperoleh keputusan ujian ketiga.

Beliau berkata, saringan pada 11 Oktober lalu dilakukan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan dan ujian melibatkan kesemua jentera bertugas di Sabah tempoh hari.

“Walaupun ujian saringan kali pertama dan kedua didapati negatif, saya tetap mengarahkan kesemua jentera wajib berkuarantin selama 14 hari sebelum pulang ke pangkuan keluarga yang dicintai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Umno Kelantan mengambil pendekatan kuarantin kendiri demi keselamatan petugas, ahli keluarga, kenalan dan masyarakat khususnya di Kelantan, bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negeri berkenaan.

“Kami bertugas di daerah Sandakan yang ditakrifkan sebagai kawasan hijau. Namun, keberadaan kami di Sabah selama hampir setengah bulan juga amat lama.

“Oleh itu, memilih untuk kuarantin secara kendiri adalah wajar pada pandangan saya,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh kuarantin, pelbagai perasaan dialami, rindu pada keluarga, sedih, hiba dan gembira.

“Namun, dengan ikatan ukhwah yang ada pada kami, telah terjalin suatu hubungan kekeluargaan yang baharu yang mengeratkan semua petugas yang menjalani kuarantin.

“Pelbagai aktiviti dilakukan secara bersama, solat berjemaah, beriadah, aktiviti keagamaan dan aktiviti ‘team building’ bagi mengisi ruang waktu yang ada.

“Ada juga dalam kalangan kami yang menghubungi ahli keluarga melalui panggilan video bagi mengubat rindu pada mereka,” katanya.

Beliau berkata, semua petugas telah pulang ke pangkuan keluarga dengan penuh yakin mereka bebas wabak.

“Umno Kelantan amat berbesar hati untuk berkongsi bahawa tiada seorang di kalangan kami yang didapati positif Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan menyeru masyarakat terus menjaga keselamatan diri, patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Sentiasa menjaga kebersihan untuk mencegah penularan wabak Covid-19 ini dengan lebih serius,” katanya. – Malaysiapost