LIMA lelaki ditahan kerana disyaki memperkosa murid berusia 12 tahun di Felda Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu pada 29 September lalu.
Suspek-suspek yang berusia lingkungan 16 hingga 23 tahun itu ditahan polis awal pagi tadi susulan laporan dibuat mangsa.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa dikatakan menunggang motosikal bersendirian untuk mengambil ibunya yang berniaga di pasar malam, tidak jauh dari rumah.
“Dalam perjalanan itu, mangsa ditahan dua suspek yang seorang daripadanya dikenali mangsa sebelum mengajaknya ke tempat yang sunyi.
“Sebaik tiba di tempat tersorok dalam ladang sawit, mangsa yang pelik dengan perbuatan suspek cuba menghubungi seseorang untuk meminta tolong, namun telefon bimbit mangsa dirampas,” katanya.
Baharudin berkata, mangsa dirogol oleh kedua-dua suspek sebelum tiga lagi rakan suspek datang dan turut merogol mangsa.
“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut seksyen 375(b) Kanun Keseksaan.
“Manakala mangsa dirawat di Hospital Dungun,” katanya.

