Fitri Nizam
CADANGAN melantik Pengurus Besar bukan Islam sebuah hotel milik Tabung Haji (TH) telah ditolak Lembaga Pengarah Tabung Haji pada 1 Oktober lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuki Shaary, ketika menjelaskan perkara itu berkata, memo tular yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Hasyudeen itu adalah cadangan lantikan.
Katanya, memo itu adalah cadangan daripada pihak pengurusan tertinggi TH yang dibawa kepada Mesyuarat Lembaga Pengarah bagi mendapatkan kelulusan.
“Cadangan yang diangkat oleh CEO TH itu tidak pernah mendapat penglibatan atau dibawa ke sebarang perbincangan dengan pihak kami Pejabat Menteri atau Timbalan Menteri sebelum dikemukakan kepada Lembaga Pengarah.
“Walaubagaimanapun, Alhamdulillah, cadangan itu telah pun ditolak oleh pihak Lembaga Pengarah TH semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 1 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Justeru, beliau berkata, dengan penolakan itu maka tidak berbangkit lagi soal pelantikan berkenaan dan keputusan itu adalah muktamad.
“Pengurusan TH diarahkan untuk mengemukakan semula cadangan calon pengurus besar hotel yang baharu yang beragama Islam supaya lebih sesuai dan menepati visi serta roh institusi pelaburan kebanggaan umat Islam ini,” katanya.
Ahmad Marzuki berkata, setiap agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) diingatkan supaya lebih peka dengan tindakan yang boleh mengundang kerisauan dan keresahan rakyat.
“Saya memberi jaminan bahawa keutamaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan saja untuk memulihkan prestasi kewangan TH malah memastikan urus tadbir melibatkan institusi ini terjamin dari sudut kepatuhan syariah dan sensitiviti umat Islam,” katanya. -Malaysiapost

