KETINGGIAN yang luar biasa menyebabkan Mohd Azli Hisyam Abdul Ghafar, 26, dikenali sebagai ‘budak panjang’ sukar mencari wanita yang sesuai dengan dirinya.
Mohd Azli Hisyam yang merupakan lelaki tertinggi di Malaysia ini, menyatakan kerana itu dia lebih suka hidup sendirian.
Dia yang menetap di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh 3, Gua Musang, Kelantan, berkata ketinggiannya adalah mencecah 2.2 meter.
Katanya, keadaan itu sekali gus membuatkan dia mempunyai banyak masalah termasuk mencari saiz pakaian dan perlu buat tempahan.
“Begitu juga bagi (memilih) selipar atau kasut kerana menggunakan saiz 19 dan sukar diperolehi di mana-mana kedai sekali gus perlu membuat tempahan juga,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak pernah merasai terbeban dengan takdir Tuhan yang menjadikan dirinya dengan ketinggian luar biasa berbanding orang lain.
“Saya bersyukur kerana diberi kelebihan itu dan selalu menarik tumpuan orang ramai kerana jarang orang tinggi seperti saya di negara ini,” katanya lagi.
Menurut Mohd Azli Hisyam, dia juga mengakui bukan mudah untuk mencari teman wanita walaupun ramai mengenalinya.
“Hasrat untuk berumahtangga memang ada tetapi perlu fikirkan juga mengenai tahap kesihatan diri saya yang sentiasa memerlukan bantuan ibu bapanya.
“Kadang-kala tubuh mudah berasa lemah dan tidak boleh berdiri lama hingga terpaksa lebih banyak berehat di rumah.
“Saya sudah membuat pembedahan di kepala sebelum ini bagi membuang tumor yang boleh menyebabkan saya lebih tinggi lagi jika tidak dibuang,” katanya.
Sementara itu, bapanya, Abdul Ghani Omar, 74, berkata, dia memang tidak membenarkan anaknya itu bekerja jauh daripada rumah.
“Saya bimbang dengan kesihatan Mohd Azli Hisyam yang belum sihat sepenuhnya selepas pembedahan itu dan cepat penat.
“Memang banyak juga tawaran kerja termasuk berlakon tetapi kita tak benar pergi jauh dan di rumah ini pun boleh cari rezeki termasuk berniaga,” katanya. -Malaysiapost

