Kerajaan baharu: MCA tidak sokong, sertai Anwar

0
2

MCA tidak akan menyokong atau menyertai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya mahu menubuhkan kerajaan baharu.

Biro Politik MCA dalam kenyataan berkata, ketetapan itu dibuat biro berkenaan yang dipengerusikan Presidennya
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Biro Politik MCA menegaskan bahawa Presiden MCA telah mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta semua presiden parti komponen BN.

“Kesepakatan yang dipersetujui ialah BN tidak akan menyertai Anwar dalam pembentukan kerajaan baharu,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan Itu, MCA juga mengulangi pendirian parti iaitu memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kepimpinan negara.

“Ia khususnya dalam keadaan dunia berdepan dengan penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan kesemua sektor ekonomi terkesan.

“Kestabilan politik adalah pra-syarat untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.

“Adalah wajar bagi semua parti politik menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi dan menghentikan segala percaturan politik yang akhirnya merugikan rakyat,” katanya.

Katanya, pemimpin dan parti politik juga seharusnya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong Mei lalu yang menitahkan ahli politik supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu.

Khamis lalu, Anwar mendakwa beliau mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Selasa ini.

Anwar berkata, pada majlis menghadap tersebut beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang pernah disebutkan sebelum ini.

Pada 23 September lalu, Anwar memberitahu bahawa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat. -Malaysiapost