
AHLI Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh membuat laporan polis bagi membersihkan namanya yang tersenarai kononnya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Beliau yang juga Pengerusi FELDA membuat laporan itu bagi menafikan kontroversi yang terpalit menyebabkan dirinya hilang kepercayaan dalam kalangan ahli politik dan rakan-rakannya.
Beliau bertegas tidak terlibat langsung dengan konspirasi untuk menukarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana tidak pernah dihubungi pihak Anwar apatah memberi sokongan kepada Presiden PKR itu.
“Dulu saya sudah nafi melalui akhbar tetapi kali kedua ini keluar balik. Jadi, untuk membersihkan nama saya ini, saya perlu buat laporan polis.
“Kenyataan media penafian saya seolah-olah tidak diendah. Kawan-kawan dan ahli pun sibuk. Apa kena ini? Kadang-kadang boleh hilang kepercayaan dengan saya, betul ke tak betul?
“Jadi hendak pasti jelas dengan pendirian saya, cara paling baik buat laporan polis,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.
Idris antara 20 nama ahli Parlimen UMNO yang disenaraikan bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang kononnya senarai nama itu akan dipersembahkan Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, pada Selasa ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris turut membuat laporan polis terhadap Anwar kerana didakwa menyenarai nama beliau dalam barisan Ahli Parlimen yang akan menyokongnya membentuk kerajaan baharu.
Idris menegaskan beliau sama sekali tidak akan memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.
Antara nama lain yang turut tersenarai adalah Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak; Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. – Malaysiapost
