Pakai Honda tapi kedekut bayar tol

0
3

HANYA kos pentadbiran selain perlu membayar tunggakan yang dikenakan kepada pemandu kereta yang ‘kedekut’ untuk membayar tol.

Perkara itu menjadi pertikaian netizen di laman Twitter rasmi Prolintas yang tidak berpuas hati berikutan tiada denda dikenakan terhadap penceroboh tol yang tidak bertanggungjawab serta mengancam nyawa pengguna lebuh raya yang lain.

Malah, segelintir netizen turut memberi cadangan agar pihak pengendali tol mengenakan bayaran denda berganda untuk memberi pengajaran kepada pemandu berkenaan.

“Kenapa tak kenakan denda yang lebih tinggi? Contoh lima kali atau 10 kali nilai tunggakan tu. Barulah sedar dan insaf.

“Sepatutnya kena denda lima kali dengan jumlah dia kena bayar, baru ada akal. Tak nak bayar tol, lalu jalan luar. Membahayakan pengguna ikut rapat-rapat.

“Patut buat denda ke penjara. Banyak kali kereta aku kena cucuk sebab pencuri-pencuri ni,” luah netizen.

Twitter rasmi Prolintas Kajang SILK, dalam satu ciapan Sabtu lalu memaklumkan berjaya menahan sebuah kenderaan jenis Honda City kerana dikesan mengelak untuk membayar tol sebanyak 59 kali.

“Kali ini, pemandu kereta Honda pula kantoi selepas 59 kali terlepas bayar tol, dengan tunggakan bayaran sejumlah RM256.20 termasuk caj pentadbiran.

“Kejadian berlaku malam tadi di Lebuhraya Kajang SILK. Amaun kerugian telah dikembalikan pada masa dan lokasi sama oleh si pelaku,” menurut ciapan itu.

Sementara itu, dalam satu lagi ciapan Prolintas turut memaklumkan terus giat menjalankan operasi mengesan penceroboh tol melalui pasukan operasi lebuh raya.

Menurutnya, operasi itu bertujuan bagi menahan pengguna tidak bertanggungjawab agar melangsaikan tunggakan bayaran tol. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here