Umno tetap Umno – Ahmad Zahid

0
2

“UMNO tetap Umno dengan tujuan agama, bangsa dan tanah air,” tegas Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menafikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan Umno bukan lagi Umno seperti yang diterajuinya dahulu.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga menegaskan Umno selepas tahun 2003 bukan lagi Umno milik Dr Mahathir, sebaliknya ia merupakan parti milik rakyat.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan penyandang kerusi Parlimen Langkawi itu mengenai desakan untuk membubarkan Umno selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.

“Saya tidak pasti apakah yang telah terjadi kepada Tun Mahathir. Pada 9 November 2018, Tun M akui suruh Zahid bubar Umno, (30 Jun 2022) Mana bukti saya suruh bubar Umno?, (16 Oktober 2022) Ya saya suruh Zahid bubar Umno.

“Sendiri mengaku kemudian menafikan dan kini mengaku semula,” katanya yang turut berkongsi tangkap layar di Facebook, laporan-laporan berita berhubung kenyataan Dr Mahathir berkenaan desakan untuk bubar Umno.

Tanpa berniat menghina Dr Mahathir dalam kenyataannya, Ahmad Zahid mendoakan bekas Perdana Menteri itu sentiasa diberi kesihatan yang baik dan semoga Allah SWT membuka hatinya berpaling pada kebenaran.

Menurutnya, isu desakan pembubaran Umno itu tidak perlu lagi beliau mengulas tentang apakah penganiayaan yang terpaksa ditempuhinya kerana enggan tunduk.

“Sehingga diheret dengan pendakwaan politik yang diada-adakan. Syukur Alhamdulillah kebenaran terlihat pada 23 September 2022. Hakikatnya sudah banyak kali saya menjelaskannya sebelum ini.

“Malah ini juga yang saya maksudkan di Perhimpunan MIC. Malangnya “di-spin”, dimanipulasi dan diputar belit oleh lawan,” katanya.

Beliau mendakwa muslihat Dr Mahathir disebalik desakan membubarkan Umno adalah kerana mahu menghapuskan pesaing Bersatu yang dipimpinnya ketika itu kerana khuatir Umno akan bangkit semula dan membalas dendam.

“Bukan kerana seperti Tun dakwa Umno menyokong wang ringgit. Mereka yang menyokong wang adalah ‘katak-katak politik’.

“Melompat selepas berasakan Umno tidak mampu beri wang. Saya tidak pernah berniat menghina Tun M dalam kenyataan saya. Tetapi saya harus bertegas bagi memperlihatkan kebenaran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here