PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi memberi penjelasan kenapa gabungan itu tidak bersetuju pilihan raya umum (PRU) diadakan sekarang.
Menurut Presiden Bersatu itu, ia bukan kerana takut atau gentar untuk bertanding, tetapi kita lebih prihatin terhadap kesusahan hidup dan keselamatan nyawa rakyat.
Ini kerana katanya, PRU diadakan pada musim hujan atau tengkujuh yang kemungkinan membawa kepada banjir besar.
“Bayangkanlah jika diadakan ketika musibah banjir melanda, bagaimana kerajaan hendak mengurus perjalanan pilihan raya.
“Dan pada masa sama sibuk mengangkut mangsa ke pusat pemindahan banjir, menjaga kesihatan dan keselamatan nyawa penduduk terlibat, menyediakan makan minum mangsa dan memastikan setiap mangsa mendapat hak untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.
“Situasi sebegini pada saya sudah tentu tidak munasabah dan menyusahkan hidup rakyat yang sebelum ini sudah terkesan teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Bagaimanapun kata Muhyiddin, oleh kerana keputusan sudah dibuat, beliau menyeru seluruh rakyat agar keluar mengundi bagi memilih PN.
Menurutnya, PN adalah sebuah parti yang prihatin nasib dan nyawa rakyat serta menentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya nanti.
“Marilah kita gunakan peluang ini untuk memastikan kerajaan yang akan dibentuk nanti bukan lagi diterajui Umno dan Barisan Nasional (BN) yang terus terpalit dengan isu-isu integriti.
“Sebaliknya sebuah kerajaan yang sentiasa memikirkan tentang nyawa dan nasib rakyat iaitu PN,” katanya. – Malaysiapost

