SEMUA pihak sepatutnya mendoakan agar perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan berjalan lancar dan dijauhi bencana alam seperti banjir.
Namun berlaku sebaliknya, apabila Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berlongsi di Facebooknya mengenai gambar tular banjir pada 2014 yang ‘dikitar semula’ bagi memburukkan Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Gambar banjir besar 2014 pun nak ditularkan hanya untuk menyemai kebencian rakyat. Sepatutnya lebih molek kita berdoa agar Allah lindungi rakyat semua daripada musibah banjir,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, jika ditakdirkan musibah melanda sekalipun, SPR mempunyai kuasa di bawah peruntukan Perlembagaan dan akta untuk menangguhkan proses pengundian di kawasan yang terlibat.
“Malah Agong boleh sahaja mengisytiharkan Darurat Bencana jika musibah teruk melanda.
“Lagipun yang berkempen bukannya bomba, JPAM, PDRM, tentera, NADMA, kakitangan hospital, tapi jentera parti. Kerajaan masih berfungsi seperti biasa walaupun telah dibubarkan,” katanya. – Malaysiapost

