PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap kerjasama yang dijalin PAS dengan Umno serta Barisan Nasional (BN) ibarat ‘durian mentah’ yang boleh menyebabkan seseorang mengalami perut kembung jika dimakan.
Abdul Hadi yang menjelaskan alasan mengapa PAS memilih Perikatan Nasional (PN) berbanding menjalin kerjasama dengan BN berkata, ini kerana partinya tidak dapat menerima Umno yang ‘keruh’.
“Kita (PAS) tak bersama dengan BN kerana ada ‘keruh’, keruhnya masih ada penerima rasuah. Lepas tu rakus pula nak perintah lagi. (Padahal) kita baru tolong bantu jatuhkan PH (Pakatan Harapan),” katanya seperti dilapor MalaysiaKini.
Abdul Hadi berkata demikian sebagai penjelasan kepada pendirian PAS memilih untuk mengukuhkan PN – yang ditunjangi parti itu dan Bersatu – berbanding Muafakat Nasional (MN) bersama Umno.
Mengulas lanjut berhubung keputusan PAS semalam, Abdul Hadi berkata walaupun tindakan itu merupakan jalan sukar tetapi ia adalah yang terbaik buat parti itu.
Katanya buat masa ini PAS mahu menjernihkan gabungan mereka bersama PN yang sepakat untuk menolak ‘pemberi serta penerima rasuah’.
Ahli Parlimen Marang itu juga mengakui untuk mencapai kemenangan mudah, Umno-BN adalah pilihan yang lebih baik buat PAS kerana gabungan tersebut memang memiliki ramai penyokong.
“Tapi kita tak (boleh) gopoh. Macam buah durian – jangan dikait cepat sangat, kalau tak masak nanti kembung perut.
“Biar masak betul-betul dulu. Saya tahu ada orang PAS yang tak tahan dah, dah terliur nak makan durian. Durian mentah lagi… kena sabar dulu biar masak molek dulu,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut membangkitkan isu royalti minyak di negeri pimpinan PAS serta dakwaan isu air melibatkan Kelantan, selain mendakwa BN gagal melaksanakan tanggungjawab sepatutnya dalam Islam meskipun pernah mentadbir negara lebih lima dekad.
Mengenai isu Kelantan, Abdul Hadi meminta rakyat negeri itu bersabar dan mereka sudah melakukannya selama ini walaupun ‘didera’ selama puluhan tahun olen BN.
“Di dalam Umno ni masih ada yang gelenyar (gatal) lagi yang tak sedar. Ni masalahnya (bila ada) kekeruhan.
“Bukan kita nak bermusuh (dengan Umno-BN), tak bermusuh… tapi kerana ada ‘keruh’ ni kita tangguh dulu.
“Jadi kita ambil pendekatan jernihkan keadaan. Banyak orang pujuk saya (dari pangkat) setinggi-tinggi dan serendah-rendah mari (datang) pujuk saya (minta) gabunglah dengan BN,” katanya.
Sementara itu, Abdul Hadi turut memberi sebab mengapa PAS menolak bekerjasama dengan PH.
Abdul Hadi mendakwa PH menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), mempunyai puak komunis dan mengkhianat orang Islam.
Tambah Abdul Hadi, PH amat lantang menentang amalan rasuah terutamanya yang melibatkan Umno tetapi bersikap berdiam diri apabila berlakunya kemungkaran.
“Pemberi rasuah, tukang terima rasuah ada belaka. Dia cakap pasal menentang rasuah tapi dia dapat sumbangan (daripada) orang beri rasuah, LGBT dia tak lawan, kemungkaran dia tak lawan, dia duduk senyap saja,” katanya. – Malaysiapost

