Kerajaan setuju laporan buku Tommy Thomas, didedahkan kepada umum

0
2

PUTRAJAYA bersetuju untuk menyahklasfikasikan dan mendedahkan kepada umum Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas “My Story: Justice in The Wilderness”.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua pasukan petugas khas telah membentangkan laporan diasatan ke atas dakwaan-dakwaan dalam buku itu.

Perdana Menteri berkata, laporan mengenainya telah dibentangkan dalam dua mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

“Pelbagai pendekatan telah dilaksanakan kedua-dua Pasukan Petugas Khas seperti meneliti dan menyemak dokumentasi dan material berkaitan, mengadakan siri perbincangan/mesyuarat dan lawatan kerja dalam serta luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juru hidrografi luar negara, serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti bagi melaksanakan tugasan sebagaimana terma rujukan ditetapkan.

“Susulan pembentangan Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas dakwaan-dakwaan dalam buku bertajuk “My Story: Justice in The Wilderness” tulisan Tommy Thomas, kerajaan telah bersetuju untuk menyahklasfikasikan dan mendedahkan laporan tersebut kepada umum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini Malaysiapost antara portal pertama yang mendedahkan bahawa Jabatan Peguam Negara tidak mahu mendedahkan laporan berkenaan kepada umum.

Pada 1 Okt lalu, polis telah mengambil keterangan bekas peguam negara Thomas berhubung siasatan ke atas buku memoir yang ditulisnya.

Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Noorsiah Mohd Saaduddin, dalam satu kenyataan, pihak berkuasa telah membuka kertas siasatan berhubung isu itu.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berkaitan buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness karya Tommy Thomas. Percakapan bekas peguam Negara tersebut juga telah selesai dijalankan oleh PDRM.

“Susulan laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice in the Wilderness yang telah ditaklimatkan kepada Jemaah Menteri dan arahan yang disampaikan oleh YAB PM agar siasatan lanjut segera dilaksanakan, kertas siasatan yang telah diperkemaskan akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara pada 3 Oktober 2022 untuk arahan selanjutnya,” kata kenyataan itu.

Pada 30 September lalu, Perdana Menteri mengarahkan pihak berkuasa supaya menyegerakan siasatan ke atas bekas Peguam Negara lantikan Pakatan Harapan (PH) itu.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here