PRU-15: Konsolidasi elit dan imej perpaduan

0
3

Mohammad Agus Yusoff

MENGAPA tajuk ini? Ini kerana kita menghadapi PRU15 dalam keadaan BN bersatu dan parti pembangkang tidak bersatu. Maka, saya menulis untuk menunjukkan betapa mustahaknya perpaduan dan kerjasama elit bagi parti yang ingin menang dalam PRU ini.

Kajian Diamond dalam Developing democracy toward consolidation dan Linz & Stepan dalam Problems of democratic transition and consolidation telah menunjukkan konsolidasi elit adalah penting untuk menonjolkan imej perpaduan bagi mengekalkan rejim.

Tanpa imej perpaduan ini, harapan untuk menjatuhkan rejim pemerintah sukar kerana rakyat tidak percaya kepada parti yang gagal menjanjikan kestabilan dan perpaduan.

Di Malaysia, BN gagal memenangi hatta satu kerusi pun di Kelantan dalam PRU 1990 kerana imej perpaduan dan konsolidasi elit PAS dan Semangat 46 yang kuat.

Di Indonesia, gerakan reformasinya berjaya kerana elitnya tidak Bersatu mendokong rejim Suharto. Di Malaysia, BN berjaya mengekalkan pemerintahannya kerana keupayaan Tun Mahathir menyatukan elit-elit politik BN untuk bersatu dan tidak melawan kepimpinannya.

Begitulah juga dengan PRU ini. BN bersatu dan perpaduan inilah yang meyakinkan BN untuk membubarkan Parlimen. Pembangkang menolak untuk mengadakan pilihan raya kerana mereka tahu perpaduan sesama mereka rapuh.

Alasan banjir tidak kukuh kerana sebelum ini, seingat saya, setelah cukup sahaja tempoh 36 bulan kerajaan berjalan, pembangkanglah yang memalu gendang untuk PRU diadakan.

Apakah BN ada harapan untuk menang? Biarpun banyak isu yang tidak menyebelahi BN, BN mempunyai peluang yang lebih besar jika pembangkang tidak bersatu. Isu, manifesto, calon, kekuatan jentera parti dan lainnya penting dalam pilihan raya, namun konsolidasi elit dan imej perpaduan lagi penting.

Oleh itu, mustahak bagi pemimpin pembangkang untuk berkonsolidasi. Memang payah kerana masing-masingnya telah ada parut luka yang dalam. Langkah Sheraton dan pengkhianatan lainnya adalah kesakitan yang tajam. Dan inilah cabarannya untuk pemimpin pembangkang.

Bagaimana untuk bekerjasama? Berjiwa besarlah dan mulakan langkah untuk sekurang-kurangnya ada electoral pact. Dengan kerjasama elektoral sahajalah sekurang-kurangnya, PRU ini akan menjadi lebih menarik dan menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk negara tercinta ini.

PH, PN, GTA, MUDA dan Warisan—sila duduk bersama dan berbincang. Tidak perlu fikir tentang khemah besar, fikir tentang electoral pact sahaja. BN dan PH semuanya masih ada masa sehingga hari pencalonan untuk berbuat demikian.

Ingatan saya kepada pemimpin pembangkang cuma satu: Jangan salahkan rakyat yang tidak tahu memilih jika gagal berkonsolidasi sekiranya BN menang lagi.
.
Penulis ialah Penganalisis Politik
(Artikel ini dipetik sepenuhnya dari tulisan di Facebook beliau)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here