BERSATU kini di peringkat akhir bagi menentukan calonnya yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu disahkan Naib Presidennya, Datuk Dr Radzi Jidin yang berkata jawatankuasa pemilihan calon Bersatu dalam proses akhir memilih calon boleh menang bagi Perikatan Nasional (PN).
“Kita sedang teliti di peringkat akhir dan InsyaAllah kita akan pilih calon terbaik dan calon yang boleh membawa kemenangan kepada PN,” katanya kepada media di Putrajaya, hari ini.
Dr Radzi berkata, calon Bersatu akan diumumkan selepas segala proses pembahagian kerusi antara parti komponen PN ditentukan.
“Kita akan umumkan selepas segala proses pembahagian kerusi, pemilihan calon, maka kita akan umumkan nanti,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, setakat ini belum diketahui berapa peratus calon lelaki dan wanita yang bakal dipertaruhkan Bersatu pada PRU15 ini.
Sementara itu, mengulas mengenai surat jemaah menteri dari PN kepada Yang di-Pertuan Agong memohon agar PRU15 tidak diadakan tahun ini, Dr Radzi menjelaskan, surat itu untuk menyatakan pandangan dan pendirian mereka kepada Agong mengenai perkara berkenaan.
“Warkah tersebut adalah penyataan pendirian oleh jemaah menteri daripada PN. Pendirian kami sejak awal lagi memang tidak mahu pilihan raya diadakan sekarang.
“Itu pendirian kita dari awal dan itulah yang dinyatakan dalam surat tersebut.
“Dalam konteks ini, sekiranya Perdana Menteri tidak mahu pilihan raya, pendirian kami itu akan mengukuhkan kehendak Perdana Menteri. Tetapi dibuat juga pilihan raya, maknanya Perdana Menteri dalam konteks ini memang nak pilihan raya diadakan,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mendedahkan tindakan 12 menteri dari PN menyerahkan surat berkenaan kepada Yang di Pertuan Agong menjadi punca Parlimen dibubarkan.
Beliau berkata, tindakan itu menunjukkan kerajaan yang dipimpinnya tidak boleh ‘pergi lagi’ dan sewajarnya dibubar bagi membolehkan rakyat memilih mandat baru pada PRU15. – Malaysiapost

