PM akui bubar kerana kerajaan tak boleh ‘pergi lagi’

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui kerajaan yang dipimpinnya tidak boleh ‘pergi lagi’ menjadikan punca utama beliau memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Pengakuan itu sekali gus menafikan pembubaran Parlimen yang diumumkan beliau Isnin lalu dilakukan atas desakan dari parti sendiri, Umno.

Ismail Sabri menjelaskan, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sepatutnya telah lama diadakan sekiranya beliau mengikut desakan partinya.

Katanya, walaupun terdapat desakan Umno berhubung pembubaran Parlimen selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun kehendak parti itu tidak diikutinya.

“Kalau ikutkan pandangan daripada parti dah lama, dah lama saya bubar Parlimen. Tengok masa PRN Johor yang kata bubar-bubar, setiap kali perhimpunan pun sebut bubar-bubar.

“Umno dah lama cakap soal pembubaran, cuma masa yang tak sesuai dan saya pun masih belum merancang lagi dari segi tarikh yang tepat.

“Tetapi apabila ada isu yang berkaitan dan saya nampak tak boleh nak ‘go on’ (teruskan) lagi, jadi saya bubarlah,” katanya kepada media selepas merasmikan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di Shah Alam, hari ini.

Kelmarin Ismail Sabri memdedahkan pembubaran Parlimen adalah rentetan perkembangan politik semasa tanah air di mana 12 Menteri menunjukkan sikap tidak wajar, mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, pembubaran ini bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

“Tindakan menteri-menteri ini jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan,” kata Naib Presiden Umno itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here