Ben Ibrahim
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Pahang hanya akan dibubarkan selepas Belanjawan 2023 diluluskan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau menjelaskan kelulusan belanjawan dibentangkan Jumaat lalu itu sangat penting bagi memastikan segala perancangan untuk rakyat Pahang dapat dilaksanakan.
“Kita nak luluskan dulu bajet (belanjawan), sebab belanjawan yang dibentangkan di sidang dewan itu sangat penting untuk rakyat.
“Jadi kita nak dapat kelulusan supaya kerajaan boleh berbelanja untuk rakyat, kalau tak (lulus) penjawat awam tak dapat sebulan setengah (bonus) tu kalau tak lulus, lulus saja (belanjawan) ‘anytime’ (boleh bubar),” katanya dalam sidang media di Kuantan hari ini.
Terdahulu Wan Rosdy menerima kunjungan Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli.
Dalam kunjungan itu, PETRONAS menyerahkan sumbangan kepada kerajaan Pahang dan agensi berkaitan bagi persiapan menghadapi banjir.
Antara peralatan disampaikan ialah dua unit bot dilengkapi enjin, tangki bahan api, serta kemudahan roda mudah alih, 1,000 unit khemah (C-Tent), 700 unit jaket keselamatan dan 7,000 baju hujan.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM47 juta bagi persiapan menghadapi Monsun Timur Laut tahun ini.
Peruntukan itu tidak termasuk bekalan barangan keperluan asas yang sudah dihantar ke pangkalan hadapan di seluruh Pahang. – Malaysiapost

