Muhammad Mustakim Ramli
KERAJAAN memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanankan di asrama Tropicana, Petaling Jaya selama 14 hari berkuatkuasa 12 Oktober sehingga 25 Oktober ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jumlah penghuni asrama yang terbabit dalam PKPD itu adalah seramai 500 orang.
Katanya, pelaksanaan PKPD ni bagi membendung jangkitan dan penularan Covid- 19 dalam kalangan penghuni asrama pekerja serta membolehkan pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.
“Dengan pelaksanaan perintah ini semua penghuni dikehendaki mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, pelaksanaan PKPD ini tidak membabitkan kawasan Tropicana Golf Club & Country Resort,” katanya, hari ini.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, operasi pusat membeli belah One Utama di Bandar Utama ditutup selama seminggu bermula 12 Oktober bagi membolehkan proses saringan dan sanitasi dilakukan susulan terdapat kes positif dalam kalangan pekerja.
Sementara itu, beliau memaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah bersetuju untuk mengaktifkan Hospital Medan ATM di Tawau bagi melaksanakan bantuan sokongan untuk merawat kes-kes selain Covid-19, pembedahan trauma dan kecemasan, Wad Bersalin dan lain-lain.
“Hospital ini mempunyai 100 katil pelbagai wad dengan kekuatan seramai 8 Pegawai perubatan dan 54 lain-lain pangkat terdiri daripada satu Komander, lima Doktor Pakar, tiga Pegawai Perubatan dan lain-lain kakitangan.
“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan melaksanakan penerbangan secara harian ke Sabah bagi membantu KKM dalam urusan logistik termasuk membawa kakitangan perubatan serta
membawa sampel saringan swab test ke makmal di Semenanjung,” katanya. -Malaysiapost

