EMPAT individu nyaris maut apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier yang mereka naiki terbakar selepas terlibat kemalangan di Kampung MIC, Jalan Batu Pahat-Kluang, Johor.
Kejadian jam 7.36 pagi tadi, melibatkan Toyota Harrier berkenaan yang dipercayai telah berlanggar dengan SUV Toyota Fortuner sebelum tiba-tiba terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penguasa Bomba Kanan II, Zaidi Tumiran, berkata pemandu Toyota Harrier, Lai Woon Yun, 38, dan tiga penumpang terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita dewasa cedera dalam nahas itu.
“Mereka diselamatkan pengguna jalan raya yang membantu mengeluarkan keempat-empat mereka semasa SUV itu mula terbakar.
“Pemandu Toyota Fortuner, Zanariah Mohd Isa, 47, turut cedera dan kenderaan mengalami kerosakan dengan remuk teruk di bahagian hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua penumpang kenderaan tersebut diselamatkan pengguna jalan raya yang membantu mengeluarkan keempat-empat mereka semasa SUV itu mula terbakar.
Mengulas lanjut, Zaidi berkata, seramai 11 anggota daripada BBP Kluang dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta sebuah Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya, setibanya di tempat kejadian, pasukannya mendapati Toyota Harrier itu sudah terbakar 90 peratus namun berjaya dikawal dalam tempoh tidak sampai lima minit.
“Empat mangsa dalam Toyota Harrier dihantar ke hospital berdekatan dengan menggunakan ambulans, manakala pemandu Toyota Fortuner dihantar ke hospital menggunakan EMRS BBP Kluang,” katanya. -Malaysiapost

