Lebih 94,000 anggota PDRM diatur gerak bagi PRU15 – Hamzah 

0
2

LEBIH 94,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan digerakkan bagi penugasan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berbanding hampir 75,000 anggota pada PRU14 lalu. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata peningkatan anggota yang digerakkan bagi PRU15 kali ini adalah disebabkan pertambahan pengundi berusia 18 tahun ke atas secara automatik. 

Katanya, bagi persediaan menghadapi banjir Monsun Timur Laut, dari aspek penugasan anggota dan pengurusan aset, 21,018 anggota PDRM akan diatur gerak khusus bagi menghadapi bencana banjir besar. 

Tambahnya, sebanyak 367 bot; 845 kenderaan pacuan empat roda; 454 lori dan 11 aset udara sedia untuk dikerah mengikut keperluaan dan perkembangan semasa. 

“PDRM akan dibantu jabatan dan agensi di bawah KDN yang lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). 

“Selain itu, semua ketua-ketua polis daerah telah diarah melakukan persedian awal bagi mengetuai pusat operasi pengurusan banjir di peringkat daerah masing-masing selaras arahan Majlis Keselamatan Negara, Dasar Pengurusan Bencana Negara. 

“Manakala 4,367 pegawai dan anggota RELA bersama aset mereka iaitu 41 lori 3 tan dan 36 kenderaan pacuan empat roda juga dalam keadaan siap sedia untuk diatur gerak di lokasi berpotensi dan dijangka berdepan banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Hamzah berkata, APMM ditugaskan memberi bantuan ke pulau-pulau khususnya penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas serta pemindahan mangsa banjir menggunakan pesawat udara. 

Ujarnya, berdasarkan laporan diterima PDRM, beberapa kawasan seperti di Tanjung Karang, Selangor; Baling, Kedah; Kuala Pilah, Negeri Sembilan serta beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak telah pun dinaiki air. 

Justeru, katanya, Pusat Pemindahan Banjir telah diaktifkan di kawasan tersebut dan misi bantuan telah diatur gerak kepada mangsa yang terlibat. 

“Pada kesempatan ini, saya ingin memberi peringatan kepada seluruh rakyat yang akan terkesan akibat bencana banjir untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia, sentiasa berwaspada dan bertindak mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. 

“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsa-mangsa banjir. 

“KDN sentiasa komited dalam memantau dan memberi bantuan kepada mana-mana pihak yang memerlukan bantuan kecemasan semasa bencana banjir,” katanya. 

Dalam pada itu, Hamzah berkata orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333/ 03-2266 3444/ 03-2266 3451 atau talian MERS 999. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here