PKR bakal memuktamadkan senarai calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selewat-lewatnya pada 19 Oktober ini, sehari sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat.
Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata senarai pendek calon yang dikemukakan kepada Presiden parti telah melalui proses saringan dan penilaian rapi.
“Sentimen sejak dua tahun lalu menunjukkan keputusan pengundi bukan lagi dipengaruhi parti yang bertanding semata-mata. Kaji selidik menunjukkan secara konsisten faktor kewibawaan calon menyumbang 50 peratus dari keputusan pengundi.
“Oleh itu, mengambil kira sentimen pengundi yang menuntut mutu calon-calon lebih baik daripada parti yang bertanding, PKR memperkenal proses saringan dan penilaian calon lebih telus, seragam, objektif dan demokratik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafizi menjelaskan prinsip diguna pakai untuk memastikan proses saringan dan pemilihan calon kali ini dapat melonjakkan kewibawaan calon-calon yang diketengahkan.
Dalam pada itu, Rafizi berkata PKR mengucapkan terima kasih kepada ribuan rakyat yang tampil menyatakan minat untuk menjadi calon parti itu pada PRU15.
“Jumlah pendaftaran di laman www.calonkeadilan.org setakat jam 10 pagi ini adalah 1,673 calon.
“Sekretariat Calon kini sedang menapis dan memberi pemarkahan awal supaya semua calon berpotensi mula dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Calon pada malam ini,” katanya.
Sebelum ini, PKR membuka permohonan pencalonan kepada ahli, pemimpin dan mana-mana individu layak yang dibuka secara dalam talian sebagai calon parti itu pada PRU15.
Beliau turut berpandangan tumpuan rakyat untuk membezakan parti-parti yang bertanding dalam PRU15 adalah kepada kewibawaan, kepelbagaian, kemahiran profesional dan kesesuaian calon-calon yang diketengahkan.
“Ini menjadi salah satu niche yang akan diberi tumpuan oleh PKR untuk membezakan kami daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya – Malaysiapost

