KERAJAAN Selangor mengekalkan pendirian tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga hujung tahun ini bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari selepas lebih dua jam menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata, pihaknya masih kekal dengan keputusan itu selepas menyembah maklum nasihat Baginda supaya menyelesaikan terlebih dulu urusan kepada rakyat negeri ini.
“Perbincangan saya bersama Sultan Sharafuddin adalah pertemuan lazim melibatkan pelbagai perkara yang perlu diselesaikan sebelum pembubaran DUN.
“Ia antaranya berkaitan soal pembangunan, banjir, bajet dan Rancangan Selangor Pertama.
“Maka dengan itu, PH Selangor kekal dengan keputusan tidak membubarkan DUN pada tahun ini,” katanya.
Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi PKR Selangor tiba dengan menaiki kenderaan rasmi jam 10.05 pagi sebelum keluar dari pintu pagar, 12.45 tengah hari tadi.
Jelas Amirudin, Sultan Sharafuddin turut meminta beliau mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi memastikan pilihan raya di Selangor berlangsung dengan lebih efisien.
Katanya, beliau kini memberi tumpuan kepada pembentangan Bajet Selangor 2023, namun ia bergantung kepada tarikh pilihan raya umum yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kita mungkin akan menunda pembentangan bajet dan akan melihat dari sudut undang undang dan sebagainya kerana tarikh (pembentangan Bajet Selangor 2023) telah ditetapkan pada 28 Oktober dan kita kena tunggu keputusan SPR,” katanya.
Dalam pada itu, kata Amirudin, kebanyakan calon PH di negeri itu kebanyakannya melibatkan penyandang kerusi kecuali Ampang dan Gombak.
“Mereka lebih berpengalaman dan mempunyai kelebihan di kawasan masing-masing. Namun, kita juga akan menampilkan calon muda atau muka baharu untuk menambah variasi atau kekuatan dalam PH dan PKR,” katanya. – Malaysiapost

