SEMUA operasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah yang terletak di kawasan zon merah akan ditutup mulai 12 Oktober ini hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Pengarahnya, Khairrul Aminus Kamaruddin, berkata penutupan operasi tersebut melibatkan pejabat JPN Kota Kinabalu, Sandakan, Penampang, Tuaran, Papar dan Inanam, selain JPN cawangan UTC Kota Kinabalu yang telah ditutup lebih awal sebelum ini.
“Penutupan operasi yang turut melibatkan pejabat JPN Beluran dan Kinabatangan susulan penguatkuasaan kawalan rentas daerah yang diperketatkan itu adalah selaras dengan arahan kerajaan dan juga sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Beliau berkata, JPN Sabah hanya akan mengendalikan kes kecemasan yang perlu sahaja bagi kawasan terbabit seperti kes kehilangan kad pengenalan.
“JPN Sabah turut menasihati pelanggannya supaya menangguhkan urusan di JPN sekiranya tiada keperluan mendesak.
” Selain itu, orang ramai boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan JPN Sabah di talian 088-488300/301/365 untuk membuat janji temu, “katanya. -Malaysiapost

