PUSAT membeli-belah One Utama, Bandar Utama dan Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya ditutup esok ekoran sembilan individu disahkan positif Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Johary Anuar, berkata penutupan itu bagi membuat saringan kontak rapat dan proses nyah kuman.
Katanya, sehingga kini terdapat empat kes positif di pusat membeli-belah One Utama membabitkan tiga pekerja dan seorang pengunjung premis.
“Manakala, lima kes positif Covid-19 membabitkan pekerja kelab golf Tropicana dilaporkan setakat ini.
“Pekerja yang didapati positif itu adalah dari Bahagian Kosmetik dan Wangian, aras bawah Parkson Elite serta aras dua, Mac City,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mengunjungi dua tempat berkenaan pada 30 September hingga 7 Oktober (Bahagian Kosmetik dan Wangian) serta pada 25 September hingga 30 September (Mac City) supaya membuat saringan COVID-19.
“Pejabat Kesihatan Daerah akan melakukan saringan kesihatan di One Utama pada 14 dan 15 Oktober bermula jam 9 pagi sehingga 2 petang.
“Keutamaan proses saringan adalah kepada kontak rapat kes sahaja iaitu pengunjung premis pada tarikh dinyatakan itu,” katanya.
Bagaimanapun, Johary berkata, individu bergejala sebelum tarikh saringan itu diminta ke fasiliti kesihatan berdekatan dengan segera untuk pemeriksaan dan rawatan. -Malaysiapost

