Covid-19: Tiada Bazar Deepavali tahun ini

0
2

MAJLIS Perbandaran Klang (MPK) memaklumkan tiada penganjuran Bazar Deepavali di Lorong Tingkat, Klang menjelang sambutan perayaan Deepavali pada 14 November depan bagi membendung penularan Covid-19.

Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, berkata setiap tahun bukan penduduk Klang sahaja, malah orang ramai dari serata Malaysia turut mengambil kesempatan mengunjungi bazar itu menjelang Deepavali.

“”Kebelakangan ini kes di Klang semakin meningkat dan situasi ini mengancam kelangsungan dan kesejahteraan hidup masyarakat yang perlu diberi perhatian dalam menimbang cadangan pembukaan tapak bazar perayaan Deepavali bagi tahun 2020,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, atas faktor itu, MPK membuat keputusan tidak menganjurkan Bazar Deepavali pada tahun ini.

“Harapan kami penutupan bazar ini dapat membendung penularan kes Covid-19 yang melanda Klang pada ketika ini,” katanya.

Bazar Deepavali di Klang menjadi salah satu acara simbolik penduduk di Klang terutamanya kaum India setiap tahun.

Semalam sehingga 23 Oktober ini, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa di 36 lokasi di dalam Mukim Klang, Selangor. -Malaysiapost