CHEE Hoi Lan menjadi individu paling mencuri tumpuan pada majlis anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, hari ini.
Wanita bukan beragama Islam itu telah menerima anugerah Ikon Ibu Sejati kerana berjasa membesarkan gadis muslim.
Hoi Lan berusia 83 tahun itu dipilih menerima anugerah berkenaan selepas membesarkan Rohana Abdullah sebagai seorang Muslim, yang ditinggalkan oleh ibunya semasa bayi.
Rohana, yang tidak mempunyai kerakyatan, dianugerahkan kerakyatan Malaysia pada April lalu, selepas mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan anugerah itu pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.
Penerima anugerah ikon pada sambutan hari ini ialah Hushim Salleh (Motivasi dan Kaunseling), Syazrina Azman atau Mizz Nina (Aktivis Kemanusiaan), Datuk Mohd Khay Ibrahim (Korporat Islam), Ahmad Noor Sulaiman (Media Islam) dan Prof Datuk Dr Azizan Baharudin (Sains dan Tamadun).
Sementara itu, tokoh korporat Tan Sri Syed Zainal Abidin Mohd Tahir dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 1444H/2022M.
Syed Zainal Abidin yang memegang pelbagai jawatan dalam sektor korporat dan badan bukan kerajaan diberi penghormatan atas sumbangannya dalam pelbagai bidang yang melibatkan kebajikan umat Islam. – Malaysiapost

