KERAJAAN memutuskan untuk meneruskan pemberian subsidi kepada penternak dan pengeluar telur ayam dari Oktober hingga Disember ini pada kadar RM0.80 sekilogram (kg) bagi ayam dan RM0.08 sebiji bagi telur.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata keputusan itu dibuat Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Jumaat lalu dengan mengambil kira harga siling kedua-dua bahan berkenaan.
“Tujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos pengeluaran yang berterusan terutama kos makanan ayam yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran selain anak ayam (DOC), logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan.
“Pelaksanaan subsidi ini akan membabitkan tambahan implikasi kewangan sebanyak RM573.96 juta kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan peruntukan subsidi ayam dan telur yang diberikan kerajaan setakat ini adalah berjumlah RM1.233 bilion dari Februari hingga September lalu.
“Setakat 4 Oktober lalu, sebanyak 13,440 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM1.136 bilion diluluskan kementerian dan semua penternak boleh terus mengemukakan permohonan supaya subsidi dapat disalurkan.
“Kerajaan terus komited memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dengan meneruskan pemberian subsidi supaya bekalan dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga stabil dan berpatutan.
“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan ayam dan telur di pasaran kekal terjamin dengan harga berpatutan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.
Jumaat lalu, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, dilaporkan berkata mesyuarat Kabinet bersetuju menaikkan subsidi bagi telur ayam gred A, B dan C daripada RM0.03 ketika ini kepada RM0.08, membabitkan pertambahan subsidi telur ayam kepada lebih RM90 juta setiap bulan.
Beliau turut menjelaskan, Kabinet bersetuju untuk tidak menaikkan atau mengapungkan harga telur ayam di pasaran bagi mengelak peningkatan kos sara hidup. – Malaysiapost

