Siti Nurhaliza tegur portal tulis tajuk berita tak ikut etika

0
2

PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegur sebuah portal tempatan yang dipercayai menulis tajuk berita yang tidak tepat berkaitan dengan kenyataannya terhadap Siti Aafiyah.

Teguran tersebut berkaitan dengan artikel di portal berkenaan yang melaporkan Siti lebih gembira jika Aafiyah menjadi ahli politik berbanding mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi.

Menerusi hantaran di Instagramnya, Siti berkata setiap penulisan perlu mengikut etika yang telah ditetapkan kerana ia bakal memberi impak kepada orang lain.

“Cuba tonton (video live) saya pada 6 Oktober baru-baru ini, ada saya post di sini, dengar apa yang saya jawab apabila media bertanyakan tentang Aafiyah.

“Tajuk berita ini jauh berbeza dengan jawapan saya. Saya tidak pernah menyebut saya lebih gembira jika Aafiyah menjadi ahli politik seperti yang ditulis,” tegasnya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata netizen akan menulis di ruangan komen berdasarkan tajuk artikel tersebut, dan pelbagai lagi pendapat yang akan timbul.

“Apa yang saya tekankan adalah mengenai etika menulis, jangan mengubah fakta dan saya pula yang terkena impak negatifnya.

“Saya sangat berharap agar @rotikaya bertanggungjawab di atas artikel dan tajuk yang ditulis.

“Saya tidak pernah ada masalah dengan pihak media tetapi saya hanya mahu agar apa yang ditulis perlu dengan fakta yang betul, apatah lagi ada video yang boleh dirujuk,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan ramai berpendapat Aafiyah bakal mengikut jejak langkah ibunya untuk menjadi penyanyi.

Ia selepas tular di media sosial video Aafiyah mempamerkan bakat nyanyiannya.

Siti bagaimanapun berkata tidak mahu anak sulungnya itu mengikut jejak langkahnya memilih bidang nyanyian sebagai kerjaya.

Menurut Siti, suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa mahu Aafiyah menjadi ahli perniagaan apabila dewasa kelak namun tidak menolak jika anaknya itu memilih untuk menjadi penyanyi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here