Jangan perbudak-budakan rakyat dengan Bajet 2023 – Mahfuz

0
2

KERAJAAN diharapkan tidak ‘memperbudak-budakan’ rakyat dengan membentangkan Bajet 2023 tanpa sempat diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, berkata jika ingin dilihat sebagai kerajaan yang prihatin kepada rakyat,  tindakan membubarkan Parlimen tidak sepatutnya dilakukan.

“Kerajaan yang bertanggungjawab tidak sepatutnya bertindak kurang matang seolah-olah memberitahu rakyat, kalau mahu bajet ini maka kamu perlu undi kami.

“Tindakan sedemikian merupakan satu perbuatan yang jijik dalam sebuah negara demokrasi,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pembentangan bajet dilakukan setiap tahun oleh kerajaan untuk memberitahu jumlah perbelanjaan dan peruntukan yang akan digunakan pada tahun berikutnya

Beliau berkata, bajet yang dibentangkan itu akan dibahaskan oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk menambah baik perkara yang telah dibentangkan.

“Selepas dibahaskan di Dewan Rakyat, Bajet 2023 juga akan turut dibahaskan di Dewan Negara sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan.

“Jadi, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seharusnya tidak membentangkan Bajet 2023 hari ini, dan kemudian membubarkan Parlimen tanpa sempat dibahaskan oleh Ahli Parlimen yang dipilih rakyat” katanya.

Mahfuz berkata, kerajaan perlu sedar seluruh Keluarga Malaysia sekarang berdebar-debar untuk berdepan musim tengkujuh bukan mengharapkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here