AMERIKA Syarikat (AS) akan mendakwa seorang rakyat Malaysia bergelar ‘Datuk Seri’, kerana melakukan konspirasi dalam pemerdagangan hidupan liar dan pengubahan wang haram.
Memetik laporan FMT, peguam AS bagi daerah selatan New York berkata, Teo Boon Ching, 57, diekstradisi dari Thailand semalam selepas ditangkap pada Jun atas kesalahan kedua penyeludupan hidupan liar.
Peguam itu Damian William berkata, Boon Ching adalah ketua perusahaan jenayah rentas negara yang memperdagangkan tanduk badak sumbu dan mengkayakan pemburu haram yang membunuh haiwan terancam.
Boon Ching yang dikatakan mempunyai perniagaan di Malaysia dan Thailand, didakwa memperdagangkan dan menyeludup tanduk badak sumbu.
“Boon Ching menjadi penyeludup khusus, mengangkut tanduk badak sumbu daripada operasi pemburuan badak sumbu terutamanya di Afrika kepada pelanggan akhirnya terutamanya di Asia. Dia juga mendakwa boleh menghantar tanduk badak ke AS,” kata kertas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya itu.
Boon Ching juga didakwa menyeludup kira-kira 73 kilogram (kg) tanduk dengan nilai hampir AS$725,472 (RM3.3 juta) pada 2019.
Dia juga memberitahu orang ramai bahawa dia adalah orang tengah bagi tanduk badak sumbu buruan di Afrika dan mengenakan bayaran bagi setiap kilogram.
Sumber sulit di AS, yang bertindak sebagai pembeli, membeli 12 tanduk daripada Boon Ching dan memindahkan wang daripada bank New York ke banyak akaun bank China menerusi kemudahan perbankan ‘rahsia’ di Thailand, kata kenyataan itu.
Boon Ching berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun kerana melakukan konspirasi penyeludupan hidupan liar dan dua pertuduhan pengubahan wang haram, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Semalam, Reuters melaporkan bahawa AS telah mengenakan sekatan terhadap kumpulan Malaysia, menuduhnya terlibat dalam ‘pemerdagangan kejam hidupan liar yang terancam serta produk pemburuan haram’. – Malaysiapost

