Bajet 2023 hanya ‘gula-gula’ – Mujahid 

0
2
Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf

AMANAH menyifatkan Bajet 2023 yang dibentangkan semalam hanya ‘gula-gula’ kerana tidak mengandungi intipati mendepani masalah yang lebih besar iaitu rasuah.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata perkara itu berdasarkan kepada pengukuhan dan keberkesanan untuk mengelak ketirisan yang masih lagi tidak diperincikan dan dipertegaskan.

“Dengan spekulasi pilihan raya umum (PRU) akan diadakan sebelum hujung tahun ini, Bajet 2023 hanyalah gula-gula tanpa ada intipati untuk mendepani masalah yang lebih besar iaitu rasuah.

“Intipatinya tidak berbeza dengan sebelumnya dan perkara yang membezakan hanyalah pengenalan Pemetaan SDG (Sustainable Development Goals) dalam sektor-sektor yang diperuntukkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, Bajet 2023 tidak mempunyai perbezaan seperti sebelumnya, ketika negara melalui fasa pemulihan dalam membina ketahanan nasional yang memerlukan pengurusan lebih efektif dan sifar ketirisan. 

“Keadaan keberhutangan negara masih tinggi iaitu RM1.4 trilion. Hutang 1MDB masih berbaki RM25.9 bilion di mana pada 2019 semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH), usaha mengambil balik aset 1MDB yang berterusan hingga 2022 berjaya mengembalikan RM 19.3 bilion. 

“Ini termasuk pendakwaan ‘Jerung Besar’ bekas Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak semasa PH telah memulihkan imej negara di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata, komitmen menangani rasuah perlu diperkenalkan agar negara dapat melalui fasa pemulihan dengan membina ketahanan nasional dan pengurusan lebih efektif serta sifar ketirisan.

Katanya, satu akta baharu untuk perolehan kerajaan (GPA) yang lebih telus juga diperlukan selain akta fiskal bertanggungjawab (FRA) untuk memantau perolehan dan tatakelola kewangan dalam kontrak kerajaan.

“Mendanai parti politik dan mengkayakan oligarki tidak ditangani dan rasuah dalam kontrak kerajaan menjadi sistemik dan sudah membarah.

“Kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati berlaku ketirisan dalam agihan kontrak terhadap kontraktor Bumiputera.

“Peratusan antara 10 hingga 15 peratus daripada nilai kontrak diagihkan kepada pelobi atau orang tengah manakala 13 hingga 15 peratus lagi diagihkan kepada kumpulan politik dan birokrat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here