Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz hari ini membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung fitnah yang dilontarkan terhadapnya membabitkan kontrak meriam Self Propelled Howitzer (SPH).
Dalam satu kenyataan hari ini, Ikmal berkata dia juga sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika ingin menyiasat tuduhan itu.
Katanya, laporan polis terhadap Rafizi dibuat Setiausaha Sulit Kanan, Mohammad Iskandar bagi di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
“Laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur itu adalah berhubung tindakan Rafizi Ramli memuatkan satu artikel dalam Facebook beliau pada 6 Oktober 2022 bertajuk ‘’Batal niat surat anugerah kontrak meriam SPH
kepada syarikat ada kaitan anak menteri yang mengaitkan nama saya dengan sebuah syarikat iaitu MA Analytics Sdn Bhd.
“Ia adalah satu fitnah dan pembohongan yang bertujuan politik bagi mencemarkan nama baik saya. Sebagai timbalan menteri pertahanan saya sama sekali tidak mempunyai kuasa
dalam menentukan/mempengaruhi pemilihan syarikat di dalam mana-mana perolehan kementerian.
“…Saya juga bersedia bekerjasama dalam sebarang siasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam Rafizi dalam satu kenyataan menggesa kerajaan supaya membatalkan Surat Niat penganugerahan kontrak perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) kepada MA Analytics Sdn Bhd yang didakwa mempunyai kaitan dengan anak timbalan menteri pertahanan.
Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan siasatan pihaknya mendapati MA Analytics Sdn Bhd didalangi pihak berkepentingan yang ada kaitan dengan Ikmal Hisham.
“Semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan siasatan ke atas individu terbabit dalam MA Analytics Sdn Bhd menunjukkan pemilikan bersama syarikat dengan anak Ikmal Hisham
“…. iaitu Ikmal Hadzlan Ikmal Hisham dan isteri Ikmal Hisham iaitu Datin Seri Norihan Ayob,” kata Rafizi.
Dalam pada itu, Ikmal berkata apa yang dinyatakan oleh Rafizi dalam artikel itu juga adalah tohmahan yang bertujuan merosakkan nama baiknya dan menyemarakkan kebencian orang awam.
“Saya menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat serta mendakwa Rafizi melalui peruntukan undang-undang sedia ada.
“Pada masa sama sekali lagi saya tegaskan, apa yang dinyatakan oleh belia adalah satu fitnah dan tohmahan yang bermotif politik apatah lagi dalam keadaan negara dijangka mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi,” katanya.- Malaysiapost

