Tuduh MP Umno lompat parti sokong Anwar, Shahidan lapor polis

0
3
PUTRAJAYA 27 SEPTEMBER 2016. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bil 1/2016 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam, membuat laporan polis berhubung dakwaan Ahli Parlimen Umno lompat parti untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional itu berkata, laporan polis itu dibuat untuk menuntut siasatan dilakukan berhubung perkara berkenaan.

“Salam.. untuk selesaikan tuduhan MP (ahli parlimen) Umno terlibat menyokong Anwar jadi PM maka saya membuat report polis.

“Minta siasat tuduhan tersebut. MP (ahli parlimen) Arau dan kawan kawannya tidak terlibat.Tidak tahu,” katanya menerusi Facebook, semalam.

Beliau juga berkata, Kerajaan pimpinanTan Sri Muhyiddin Yassin masih memerintah negara.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) tolong selesaikan. Pasaran saham jatuh..Pelabur takut untuk melabur,” katanya.

Khamis lalu, Anwar mendakwa beliau mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Selasa ini.

Anwar berkata, pada majlis menghadap tersebut beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang pernah disebutkan sebelum ini.

Pada 23 September lalu, Anwar memberitahu bahawa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat. -Malaysiapost