
SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan nama-nama Ahli Parlimen daripada Parikatan Nasional (PN) yang didakwa menyokongnya.
Annuar berkata, pendedahan tersebut perlu dilakukan agar rakyat kenal mereka yang terbabit dalam pengambil-alihan kerajaan bersama Anwar yang dianggap sebagai kemaruk kuasa dan menggugat kestabilan negara.
“Di saat rakyat dalam keresahan,serta penularan wabak yg mengancam nyawa, bagaimana boleh mereka melayan kemaruk kuasa dan cuba menggugat kestabilan negara.
“Kita harap senarai sebenar segera didedah supaya rakyat kenal siapa mereka,” tulisnya menerusi Twitter.
Khamis lalu, Anwar mendakwa beliau mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Selasa ini.
Anwar berkata, pada majlis menghadap tersebut beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang pernah disebutkan sebelum ini.
Pada 23 September lalu, Anwar memberitahu bahawa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat. -Malaysiapost
