PRU-15 mungkin sebelum pertengahan bulan depan – Tuan Ibrahim

0
2

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya sesuai dilaksanakan sebelum ketibaan Monsun Timur Laut, pertengahan November ini sekiranya mahu diadakan dalam tempoh terdekat.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata jika selepas tempoh itu ia tidak lagi sesuai kerana musim banjir.

“Kita pun tak tahu macam mana hari ini. Tapi kita belum tahu keadaan, sama ada tahun ini atau tahun depan (PRU15).

“Ramai kata kemungkinan tahun ini hendak dibubar Parlimen. Tapi kalau tahun ini kemungkinan sebelum Monsun Timur Laut, pertengahan bulan November terpaksa buat, mengundi sebelum pertengahan November.

“Kalau lewat itu sudah tidak sesuai, banjir. Sekarang pun tiap-tiap hari hujan. Tapi apapun kita buat kerjalah. Insya-Allah,” katanya dalam klip video dikongsi di Twitter, hari ini.

Dalam klip video itu Tuan Ibrahim dilihat bersarapan bersama Unit Komunikasi Korporat (UKK) kementeriannya.

Dalam kapsyen pada video berkenaan, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, beliau menerima jemputan untuk bersarapan dengan UKK kementerian hari ini.

Beliau memberi bayangan bahawa ia sarapan terakhir beliau bersama unit tersebut.

“Saya dijemput oleh UKK KASA untuk sarapan bersama. Nasi lemak dan kuih muih. Sarapan terakhir bersama agaknya.

“UKK banyak membantu saya dalam memastikan kelancaran program, perantara dengan pihak media dan membuat liputan program kementerian,” katanya.

Tuan Ibrahim antara menteri yang hadir dalam mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi tadi.

Beliau juga akan hadir sesi pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Negara yang akan berlangsung petang ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here