Ben Ibrahim
KERAJAAN Pahang mengumumkan pemberian bonus satu setengah bulan gaji kepada 8,000 penjawat awam di negeri itu.
Ia diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 hari ini.
Menurut Wan Rosdy, bonus itu sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam dalam memastikan agenda pembangunan negeri dicapai.
“Pembayaran bonus sebulan gaji akan dibayar tahun ini manakala setengah bulan lagi pada Januari 2023.
“Pemberian ini membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM33juta yang akan memberi manfaat kepada 8,000 penjawat awam di Pahang,” katanya.
Wan Rosdy turut mengumumkan beberapa bayaran insentif lain termasuk sumbangan sekali bayar berjumlah RM250 kepada 300 penyelia dan petugas pusat pemulihan dalam komuniti (PPDK).
Katanya, bayaran insentif itu membabitkan peruntukan RM75,000 sebagai usaha mengiktiraf komitmen pekerja, pendidik dan pengasuh Orang Kurang Upaya (OKU).
“Kita yakin insentif ini menjadi pemangkin kepada mereka untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada golongan berkenaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Wan Rosdy mengumumkan pemberian apresiasi kepada 9,000 penerima terdiri daripada veteran tentera dan polis.
Katanya, mereka akan menerima RM200 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM1.8 juta.
“Pesara Kerajaan Negeri seramai 4,500 orang akan menerima RM200 setiap seorang.
“Kerajaan negeri juga akan meneruskan Program Anggun Niaga pada tahun 2023 dengan peruntukan sebanyak RM750,000.
“Program ini akan memberi manfaat kepada lebih 700,000 ibu tunggal di seluruh Pahang,” katanya.
Beliau turut mengumumkan Bantuan Prihatin Pahang akan diteruskan dan membabitkan 218,193 penerima.
Katanya, BPP diperkenalkan tahun ini membabitkan peruntukan RM42.4 juta dan kerajaan negeri menambah RM8 juta lagi bagi program BPP tahun depan. – Malaysiapost

