KEPUTUSAN Pakatan Harapan (PH) enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri ditadbir gabungan itu jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh terdekat, didakwa hanya retorik politik.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata PH mendakwa keputusan itu dibuat kerana tidak mahu menambah derita rakyat yang terpaksa mengharungi banjir ketika PRU15.
“Sebenarnya rakyat lagi takut banjir berlaku disebabkan air kencing PH.
“Sebab itu rakyat ketawa bila PH tidak mahu bubarkan DUN di tiga negeri yang mereka kuasai,” katanya menerusi Facebook.
Mohd Puad berkata, kenyataan retorik berkenaan dilihat tidak selari dengan tindakan PH sebelum ini termasuk dalam beberapa gerakan dan percaturan politik yang dilihat hanya merugikan rakyat dan membazir wang negara.
“Sekiranya PH benar-benar mementingkan rakyat, mengapa PRK (Pilihan Raya Kecil) Permatang Pauh 2008. Apa perlunya Langkah Kajang 2014. Apa perlunya PRK Port Dickson 2018. Tidakkah itu pembaziran dan penderitaan.
“PRK Permatang Pauh 2008 berlaku kerana (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) mahu tubuh Kerajaan 16 September. Langkah Kajang 2014 adalah idea Rafizi untuk singkir Tan Sri Khalid Ibrahim dan diganti oleh Anwar. Akhirnya (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) yang jadi Menteri Besar.
“Manakala PRK Port Dickson 2018 berlaku kerana Anwar yang baru bebas dari penjara mahu jadi PM selepas (Tun Dr) Mahathir (Mohamad). Akhirnya jadi PM tepi.
“Rakyat menderita kerana buang masa. Banjir kerana kencing PH lebih bahaya. Derita rakyat berpanjangan,” katanya.
Semalam, Anwar yang juga Pengerusi PH mengumumkan tiga negeri di bawah PH tidak akan dibubarkan jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, ia bagi memberi laluan kepada pemimpin di negeri itu untuk fokus kepada kebajikan rakyat yang kini menghadapi banjir. – Malaysiapost

