Artis seni cat seluruh rumah bernilai RM7 juta dengan lukisan doodle

0
1

ARTIS seni lukisan doodle dari Britain mengecat keseluruhan rumah banglonya yang bernilai £1.35 juta (RM7 juta) dengan lukisan doodle.

Mengambil masa dua tahun, Sam Cox, yang lebih dikenali sebagai Mr Doodle, menggunakan 900 liter emulsi, 401 tin cat semburan, 286 botol cat lukisan dan 2,296 mata pena.

Artis berusia 28 tahun yang memiliki 2.7 juta pengikut Instagram (IG) itu, melukis keseluruhan ruang banglo enam bilik itu bertemakan neo-Georgia menggunakan lukisan hitam putih.

Beliau dikatakan serius dalam seni itu selepas belajar dalam bidang ilustrasi di Universiti Barat England, di mana dia menghabiskan masa selama 16 jam sehari untuk melukis.

Sam mula dikenali ramai pada 2017 selepas membuka kiosk kecil di timur London, selain video hasil karyanya yang dimuat naik di media sosial ditonton sehingga 46 juta kali seminggu.

“Impian saya sebelum ini ialah membeli sebuah rumah yang akan diubah suai mengikut tema doodle, dan pada 2019, akhirnya ia dapat dicapai,” katanya yang membeli hartanah di bandar Tenterden, Kent, memetik akhbar Metro UK.

Sam memberitahu, pemilik asal yang menjual rumah itu berkata bahawa dia bebas melakukan apa sahaja kecuali jangan melukis doodle, namun ia tidak dihiraukan.

Projek Sam bermula pada bilik tidur utama, yang mana dia menghiasnya dengan lukisan doodle bertema ‘impian’, dan diikuti dengan bilik mandi yang mempunyai tema laut.

“Ia merupakan projek paling lama yang saya pernah hasilkan. Saya mahu katakan bahawa saya melakukan semuanya sendiri,” katanya.

Sam berkata, projek yang telah siap sepenuhnya itu, disifatkan sebagai ‘hasil seni hidup’ menerusi rakaman video di media sosial.

“Saya sangat gembira kerana kini sudah mempunyai rumah dengan hasil seni doodle sendiri,” katanya.

Dalam video tersebut, tiada satu pun ruang ditinggalkan tanpa lukisan doodle, termasuk dinding dan siling rumah serta peralatan termasuk televisyen, peralatan memasak serta tab mandi. – Malaysiapost

Foto ihsan : IG @mrdoodle

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here