KERJASAMA pertahanan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) kini pada tahap amat kukuh, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menurutnya, perkara itu terbukti dengan sumbangan peralatan perubatan oleh AS kepada Kor Kesihatan Diraja bernilai USD3 juta (RM13.8 juta) baru-baru ini.
“Malah, secara keseluruhannya AS telah sumbang lebih USD200 juta (RM926 juta) untuk tingkat keupayaan pertahanan Malaysia.
“Kapal Diraja (KD) Lekir juga baru pulang selepas diberi penghormatan sertai Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 di Hawaii,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau memaklumkan, dalam perbualan telefonnya dengan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd J. Austin III semalam, kedua-dua pihak turut bersetuju memperkasakan lagi kerjasama yang terjalin
“Kami senada masih ada ruang untuk perkasakan lagi kerjasama ini. Antaranya menerusi Building Partner Capacity (BPC) Programme.
“Kami turut bincang secara spesifik usahasama ke arah meningkatkan lagi keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.
Hishamuddin berkata, dalam perbualannya itu beliau turut berpeluang bertukar pandangan mengenai isu keselamatan semasa termasuk perihal Laut China Selatan dan konflik Ukraine-Rusia.
“Sebelum berakhir, saya jemput beliau ke Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) tahun hadapan termasuk penglibatan U.S. Navy Blue Angels,” katanya. – Malaysiapost

