Semua sekolah di Sabah tutup sehingga 25 Oktober

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

SEMUA sekolah di Sabah ditutup bermula esok sehingga 25 Oktober ini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui sidang video.

“Mesyuarat bersetuju supaya Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti keperluan untuk menutup sekolah-sekolah di seluruh negeri Sabah. 

“Sehubungan itu, KPM memutuskan semua sekolah di Sabah ditutup bermula 10 Oktober sehingga 23 Oktober 2020. 

“Jika sebelum ini KPM telah menutup sekolah di zon merah di Sabah, keputusan hari ini membolehkan kementerian menutup semua sekolah di negeri itu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sementara itu, beliau berkata, sejak sekolah dibuka semula pada 24 Jun lalu, pemantauan rapi dibuat oleh KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM). 

“Sekiranya Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengesan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah, PKD akan membuat analisa risiko secara menyeluruh ke atas jangkitan kes berkenaan. 

“Berdasarkan analisa risiko ini, KKM melalui PKD akan mengeluarkan arahan sama ada, untuk kelas, tingkat dan bangunan ditutup ataupun keseluruhan sekolah perlu ditutup. 

“Ada keadaan di mana hanya kelas terlibat sahaja ditutup dan ada juga keadaan di mana keseluruhan sekolah ditutup,” katanya.

Beliau berkata, penutupan itu dibuat berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dan mengambilkira keperluan untuk pengesanan kontak rapat dan kerja-kerja disinfeksi 

dijalankan. 

“Memandangkan terdapat trend peningkatan kes, kaedah pengurusan sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19 dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah telah dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid- 19.

“Mesyuarat mengambil keputusan mana-mana sekolah di seluruh negara yang mempunyai kes positif perlu ditutup oleh KPM untuk tempoh tujuh hari tanpa menunggu analisa risiko oleh KKM.

“Dalam hal ini, sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19 perlulah mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh KPM,” katanya.

Beliau memaklumkan, merujuk kepada kes positif di Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 8 (1), Wilayah Persekutuan Putrajaya dan SK Bangsar, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, arahan penutupan sekolah dikeluarkan oleh PKD hari ini dan sekolah ditutup bermula hari ini sehingga 16 Oktober ini. – Malaysiapost