Ketua Menteri Sabah positif Covid-19

0
3

Aiman Hanif

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor disahkan positif Covid-19 selepas salah seorang kakitangan pejabatnya disahkan dijangkiti wabak itu.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Perhubungan Awam kepada

Ketua Menteri Sabah, Effendi Mohamed Sunoh dalam satu kenyataan malam ini.

“Seperti yang sedia maklum, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor telah secara sukarela menjalani kuarantin kendiri beberapa hari yang lalu setelah salah seorang daripada kakitangannya didapati positif Covid-19.

“Semasa dalam kuarantin kendiri tersebut, beliau menjalani ujian Covid-19 sekali lagi. Hasil ujian terbaru mengesahkan beliau didapati positif,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu tular di media sosial yang mendakwa Ketua Menteri Sabah itu dan isterinya, Datin Seri Julia Salag positif Covid-19.d

Selalin Hajiji, beberapa menteri dalam kerajaan Sabah juga didakwa turut positif pandemik itu dan dikatakan menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Rujuk kenyataan awal SKN Sabah (Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong) iaitu CM (Ketua Menteri) dengan sukarela kuarantin kendiri,” kata Bung Moktar.

Dalam pada itu, Effendi memaklumkan Hajiji kini sedang menjalani rawatan di Queen Elizabeth Hospital dan dalam keadaan kesihatan yang baik dan stabil. 

“Walaupun sedang menjalani rawatan, YAB (Hajiji) masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya di tempat rawatan, menerusi panggilan telefon dan sidang video (video conferencing). Kerajaan Negeri berfungsi seperti biasa.

“YAB mengajak seluruh rakyat Sabah agar bertenang dan bersama-sama berdoa agar Allah SWT sembuhkan dan selamatkan Sabah dan Malaysia daripada Covid-19. Insya-Allah,” katanya lagi. – Malaysiapost