TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli mendedahkan satu lagi skandal melibatkan tender perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) membabitkan peruntukan RM854 juta.
Beliau berkata, penganugerahan tender tersebut diberi secara terus kepada syarikat yang baru ditubuhkan dua tahun, MA Analytic Sdn Bhd dan mendapat sokongan daripada Perdana Menteri serta Menteri Kewangan.
“Hari ini saya dedah satu lagi skandal persenjataan melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) pula.
“TDM meminta untuk membeli sistem meriam altileri. Proses perolehan yang baharu kerajaan menetapkan kementerian perlu mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan jika tidak buat tender secara terbuka.
“Kementerian Pertahanan minta buat tender terhad kerana ini perolehan persenjataan, perlu ada kerahsiaan tentang maklumat-maklumat seperti spesifikasi senjata dan lain-lain.
“Sepatutnya Kementerian Kewangan gembira kerana Kementerian Pertahanan mahu buat tender, boleh dapat senjata terbaik, pada nilai harga paling baik untuk rakyat. Kementerian Kewangan jawab permohonan Kementerian Pertahanan ditolak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu rakaman video berdurasi tiga minit yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi miliknya, hari ini.
Rafizi berkata, daripada mengarahkan untuk membuat tender, sebaliknya Kementerian Kewangan mengarahkan Kementerian Pertahanan menganugerahkan projek mega berkenaan secara rundingan terus kepada MA Analytics Sdn Bhd.
Katanya, semakan latar belakang syarikat MA Analytics di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati barisan Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu terdiri daripada anak-anak muda, yang disifatkan kurang berpengalaman menguruskan projek besar melibatkan aset senjata negara.
“Rupa-rupanya syarikat itu baru ditubuhkan tidak sampai dua tahun. Pengarah-pengarah mereka pula muda-muda lagi.
“Syarikat ini ada kabel besar. Syarikat ini sudah tulis surat kepada Perdana Menteri minta segerakan anugerah tender pada mereka, dan PM juga sudah beri arahan pada surat ‘saya sokong permohonan sila ambil tindakan’,” katanya. – Malaysiapost

