LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) menarik balik rayuan saman yang difailkan untuk menuntut cukai tertunggak sebanyak RM10.3 juta daripada anak Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa.
Perkara itu disahkan peguam Nooryana, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, lapor MalaysiaKini.
“Rayuan LHDN terhadap penolakan Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan penghakiman ringkas telah ditarik balik, memandangkan isu cukai ini telah diselesaikan.
“Berkenaan saman di Mahkamah Tinggi, tarikh perbicaraan telah dikosongkan namun proses pembatalan secara rasmi masih belum tamat,” katanya.
Seorang lagi peguam Nooryana, Wee Yeong Kang turut mengesahkan pembatalan permohonan LHDN serta penyelesaian isu tuntutan cukai antara lembaga itu dengan anak guamnya.
Sementara itu, menerusi hantaran di Instagramnya, Nooryana turut menzahirkan kesyukuran berhubung perkembangan berkenaan.
“Alhamdulillah hari ini, LHDN secara rasmi menarik balik rayuan terhadap kes cukai saya.
“Kami telah pun menyelesaikan kes cukai selepas ejen saya dan LHDN akhirnya bersetuju bahawa wang hantaran, ‘nafkah’ daripada suami saya dan sebuah rumah yang dibeli sepenuhnya oleh mertua saya menggunakan dana dari luar negara tidak dikenakan cukai,” katanya.
Menurut Nooryana, perkara itu tidak tidak masuk akal sama seperti kes cukai tertunggak RM1.7 bilion yang dikenakan ke atas bapanya.
“Tujuan utama kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu adalah untuk menganiaya keluarga saya menggunakan LHDN,” katanya.
Pada 26 Ogos 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Faizah Jamaludin menolak permohonan LHDN untuk penghakiman terus dalam samannya, yang menuntut pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM10.3 juta daripada Nooryana.
Selain Nooryana, LHDN turut memfailkan tindakan sivil untuk menuntut RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin. – Malaysiapost

